LAPORAN FESTIVAL KEBUDAYAAN DAN WARISAN POLITEKNIK MALAYSIA 2011

Pada 15-17 Julai 2011 baru-baru ini, telah berlansung dengan meriahnya satu Festival Kebudayaan dan Warisan Politeknik Malaysia 2011 di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak. Dua kategori telah dipertandingkan iaitu Pertandingan Lagu Rakyat dan Permainan Tradisional. Sebanyak 14 buah politeknik telah berentap di dalam festival tersebut.

Syukur kehadrat ilahi berkat komited daripada semua pihak terutamanya koreografer, make-up artis dan anak-anak kesayangan saya iaitu pasukan Tari Raden Mas serta pasukan ‘krew’ yang tidak berbelah bagi  berusaha dalam memastikan nama PSP supaya lebih bersinar. Semangat dan usaha yang berterusan ini telah membuahkan hasil di mana sekali lagi Pasukan Tari Raden Mas PSP diangkat menjadi Juara pertandingan Lagu Rakyat sekaligus menewaskan enam finalis yang lain. Kehadiran Ketua Pengarah sedikit sebanyak mencuit rasa hati saya untuk memaklumkan betapa bangganya PSP diangkat menjadi Juara. Atas kemenangan ini, Pasukan Tari Raden Mas PSP telah membawa pulang Piala Juara Lagu Rakyat dan wang tunai sebanyak RM800.00.

Memang tidak dinafikan banyak masalah dan dugaan sepanjang sesi latihan kami. Saya sendiri, selaku Pegawai Kebudayaan dan Warisan PSP juga tidak terlepas diuji dengan pelbagai masalah, sakit dan sebagainya. Walaubagaimanapun, mungkin hubungan kami di dalam pasukan Tari Raden Mas dan krew yang sangat rapat seperti keluarga sendiri banyak membantu kejayaan bagi Unit Kebudayaan dan Warisan. Pujian yang sebenarnya harus diberikan kepada anak-anak kesayangan saya mahupun penari dan ‘krew’. Sikap komited dan sabar mereka sebenarnya yang banyak mengajar saya erti tanggungjawab dalam melaksanakan tugas saya. Sekalung kasih juga kepada koreografer PSP En. Zamry Saidin dan Pn Siti Maizura iaitu make-up artis. Pengorbanan mereka sangat mengharukan saya. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih saya ucapkan kepada pihak atasan, iaitu Tuan Pengarah - En Ahmad Rani, Timbalan Pengarah Akademik - Ustaz Najib Yaacob, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik – En Kamaludin Daud, Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan iaitu Puan Kalsom Sailan dan En Mohd Fadli Bin Abdul Hamid, iaitu ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Walaupun kemenangan demi kemenangan kami ungguli, saya sentiasa menyemaikan di hati anak-anak saya agar tidak riak dan takbur kerana masih lagi terdapat ruang-ruang penambahbaikan bagi memantapkan lagi pasukan Tari Raden Mas untuk penglibatan di mana-mana temasya kesenian. Sikap ini penting dalam mengekalkan kejuaraan di Festival Kebudayaan dan Warisan Politeknik Malaysia 2012 di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin pada tahun hadapan. Segalanya itu mungkin tidak diketahui sekiranya pengalaman itu tidak dipetik sendiri oleh kita.


DISEDIAKAN OLEH :

FAZILATUL HAIDA BT HIDZIR
Pegawai Kebudayaan & Warisan
Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan
Politeknik Seberang Perai